Monday, May 04, 2009

Import mampu kawal harga ayam

HARI ini, tuntutan pelbagai pihak terhadap kerajaan amat banyak. Media telah melaporkan dengan pelbagai wajah yang amat menarik untuk diteliti. Tuntutan yang bersifat politik dan ekonomi memang menguji kematangan dan kebijaksanaan kerajaan.

Umpamanya dalam soal tuntutan pengguna agar harga ayam diturunkan, wujud satu dilema untuk melayaninya. Tuntutan pengguna itu telah disanggah pula oleh Persekutuan Persatuan Penternak Ayam Malaysia (PPM) untuk mengekalkan harga ayam di pasaran.

Maka, yang tersepit dalam keadaan ini adalah pihak kerajaan. Mana satu yang perlu dipertimbangkan, kepentingan pengguna atau kepentingan peniaga.

Kedua-duanya adalah penting kepada kerajaan kerana kesemuanya adalah rakyat Malaysia. Umum mengetahui bahawa kaedah yang paling berkesan untuk menurunkan harga ayam adalah dengan mengimport ayam dari negara jiran.

Perkara ini telah berkali-kali terbukti berkesan dapat menurunkan harga ayam walaupun timbul pula soal kesahihan dari sudut jaminan halal dan kualiti.

Stok ayam yang banyak dari negara jiran membuatkan kita sering tertanya-tanya bagaimana mereka menguruskan sumber protein ini sehingga mampu memenuhi permintaan ad-hoc daripada negara kita.

Ambil fenomena dari sudut dua keadaan positif. Pertamanya, ketidaktentuan harga ayam ini mungkin timbul kerana Malaysia berada dalam transisi melewati status negara membangun. Perusahaan dalam bidang ini tidak berkembang kerana rakyat menceburi bidang perusahaan lain.

Keduanya, antara negara jiran yang paling banyak mengeksport bahan makanan termasuk ayam ialah Thailand. Tidak susah sebenarnya untuk mengawal mutu dan status halal ayam dari Thailand kerana negara itu juga wujud gerakan yang amat mengambil berat soal halal haram.

Berdasarkan dua keadaan ini, satu pengurusan strategik sumber protein halal amat wajar dilakukan. Melihat situasi di negara maju, bahan makanan kebanyakannya diimport dari negara jiran.

Di United Kingdom umpamanya, sumber protein dan buah-buahan di import dari pelbagai negara Eropah, Amerika Latin dan Asia. Kawalan mutu dilakukan dengan baik.

Tanah-tanah di negara maju kebanyakannya digunakan untuk tujuan yang lebih produktif. Biarpun ada diusahakan untuk pertanian, produktivitinya amat tinggi.

Dalam keadaan kerajaan menjaga kebajikan para peniaga untuk pasaran tempatan dan juga kebajikan pengguna umumnya, satu mekanisme kestabilan sumber protein berkualiti amat wajar dipertimbangkan.

Ia memungkinkan masalah ini dapat diselesaikan dari sudut menang-menang. Kita yakin dalam pertikaian antara peniaga dan pengguna, mewujudkan keputusan menang-kalah adalah satu keputusan yang mengundang persepsi negatif.

Penyelesaian jangka panjang itu mampu menjadikan masalah ini dapat diatasi. Bagaimanapun, dalam jangka masa pendek rundingan berhemah amat perlu. Atau perlukah konsep subsidi digunakan untuk mengawal harga ayam sebagaimana kerajaan membantu rakyat dalam bebanan kenaikan harga minyak dahulu?

Petikan diubahsuai daripada penulisan MOHD. MAHZAN AWANG

Scotland, United Kingdom

1 comment:

Danish Andzar said...

Salam..
Ni lar susahnya jadi kerajaan..bila tlg "A" org kata itu..klu tlg "B" orng kata ini..so caner nk buat..last2 sokong pembangkang..sbb dorang kata pembangkang lebih adil..