Saturday, November 27, 2010

Jambatan Bengkok.

Suka sangat bace artikel nie..

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan mengundang implikasi undang-undang daripada kerajaan Singapura jika ia menggunakan formula ‘jambatan bengkok’ yang pernah dicadangkan sewaktu pentadbirannya.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, keyakinan berkenaan adalah berasaskan reaksi Singapura yang tidak membantah rancangan pembinaan jambatan itu atau membuat apa-apa tuntutan termasuklah mengenai laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Katanya, kerana itulah kerja-kerja pembinaan telah dimulakan dengan menambak sebahagian daripada Tambak Johor yang berada dalam kawasan Malaysia untuk dijadikan tempat penyambungan ‘jambatan bengkok’ dari arah Johor.
“Tidak ada sebab kita tidak boleh meneruskan projek ini, cuma apa yang berlaku ialah (bekas Perdana Menteri), Tun Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan untuk menghentikan pembinaan jambatan ini.
“Kononnya supaya dapat dirunding semula dengan Singapura, selama dua tahun berlalu namun rundingan tidak berjaya,” katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan RM7,000 daripada Pengerusi Persatuan Belia Islam Kepong, Norizan Ali untuk mengisi Tabung Gaza di sini hari ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraannya yang ke-52 pada 22 November lalu mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan cadangan pembinaan jambatan baru itu perlu dikaji secara terperinci kerana ia memberi banyak implikasi dalam beberapa aspek termasuk perundangan dan kos.
Model ‘jambatan bengkok’ yang dicadangkan sewaktu pemerintahan Dr. Mahathir ialah jambatan yang dibina secara bersendirian oleh Malaysia dan bersambung semula di atas Tambak Johor kira-kira 20 meter daripada sempadan Singapura selain membolehkan kapal melalui Selat Tebrau.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, rundingan yang dilakukan oleh Abdullah adalah berkaitan sama ada Singapura mahu membina sebuah jambatan yang lurus dan bukannya berkaitan ‘jambatan bengkok’.
Bagaimanapun kerana Singapura meminta hak penerbangan jet pejuang di ruang angkasa Johor di samping bekalan pasir sebanyak 1 bilion kubik meter dalam tempoh 20 tahun, Malaysia terpaksa menarik diri.
Katanya, yang memelikkan adalah projek ‘jambatan bengkok’ turut dihentikan dengan alasan ia tidak dipersetujui oleh rakyat Johor sehingga membangkitkan kemarahan mereka dan menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan enam kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya umum 2008.
“Kerana marah itu sokongan mereka kepada BN merosot, ada kawasan yang dulu menang majoriti 13,000 tinggal 2,000 undi dan ada kawasan yang kalah terus.
“Saya yakin kalau jambatan ini dibangunkan ia akan mengembalikan sokongan rakyat Johor kepada BN,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir berkata, beliau telah bertemu dengan Sultan Ibrahim dan baginda menunjukkan kesungguhannya untuk merealisasikan pembinaan jambatan baru itu.
“Baginda akan menulis (surat), saya fikir kepada kerajaan untuk membuat cadangan bagaimana nak membina jambatan itu jika Kerajaan Pusat tidak ada duit,” katanya.

No comments: