GENEVA 14 Julai - Wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) kini semakin meningkat tanpa henti dan semua negara perlukan vaksin, kata seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hari ini menyusul 12 kematian baru yang dilaporkan.
Britain, Brazil, Colombia, Mexico, Filipina dan Thailand semuanya melaporkan kematian pada Isnin, manakala Arab Saudi telah menutup sebuah sekolah antarabangsa selepas 20 pelajar didapati membawa virus H1N1.
Susulan meningkatnya jumlah kematian, pegawai WHO berkata, vaksin selesema babi sepatutnya sudah dapat diperoleh seawal September dan negara di seluruh dunia memerlukannya untu melindungi negara masing-masing.
Sekumpulan pakar vaksin merumuskan selepas mengadakan pertemuan baru-baru ini bahawa "wabak H1N1 gagal dihentikan dan dengan itu semua negara memerlukan vaksin," kata Marie-Paul Kieny, pengarah penyelidikan vaksin WHO.
Lebih dari 90,000 kes selesema babi telah dilaporkan di seluruh dunia, termasuk 429 kematian manakala angka yang diterima WHO akan bertambah berbanding minggu lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment