Sunday, April 12, 2009

Program jimat berbelanja.

PETALING JAYA 30 Jan. - Pengguna perlu meningkatkan tahap kesedaran terhadap aspek berjimat-cermat bagi mengelak perbelanjaan keterlaluan terutama ketika kelembapan ekonomi sekarang.


Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, senario pembuangan kerja, kenaikan harga makanan dan peningkatan kadar jenayah adalah signifikan daripada ketidakstabilan ekonomi.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat perlu menjadi pengguna yang berhemah, bersikap anjal selain mempelajari kemahiran serta pengetahuan baru untuk mengubah tabiat dan amalan pembelian.


"Dalam hal ini, FOMCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain menyokong penuh Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelancaran Kempen Konsumer Kebangsaan 2008- 2012 (Kempen 3K) di sini hari ini.


Bertemakan 'Perubahan Bermula Dengan Saya', kempen itu turut mendapat kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan- Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia (MBM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Petronas.

Menurut Marimuthu, kempen itu bertujuan mendidik pengguna peringkat akar umbi terutama wanita, belia dan pekerja selain masyarakat luar bandar mengenai kepentingan mengawal amalan perbelanjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak diperkenalkan Julai tahun lalu, pihaknya menerima banyak respons positif berhubung pelaksanaan kempen itu dengan rata-rata pengguna semakin bijak mengawal perbelanjaan,

"Selepas ini kami akan mempergiatkan lagi kempen dengan mendekati pelajar sekolah dan mahasiswa di universiti dalam usaha mendidik mereka menjadi pengguna yang berhemah.

"Pada masa yang sama, tumpuan kami terarah kepada institusi keluarga kerana kami percaya selain individu, amalan berjimat cermat perlu bermula di rumah," katanya.

No comments: