Friday, April 17, 2009

PROGRAM BERSAMA FORMCA MENGHIASI DADA AKHBAR SINAR HARIAN.

TANJUNG MALIM – Kesedaran akan kepentingan untuk mengetahui hak yang perlu dijaga bagi seorang pengguna menimbulkan kesedaran bagi pihak Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (Fomca) untuk menganjurkan bengkel kesedaran bagi pengguna di sini.

:Bengkel Perubahan Bermula Dengan Saya dianjurkan oleh pihak Fomca dan mendapat kerjasama daripada Persatuan Pengguna Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diadakan di Dewan Kuliah D, Kampus UPSI di sini, baru-baru ini.

:Ketua Pegawai Operasi Kempen Konsumer Kebangsaan (3K), Siti Rahayu Zakaria berkata, peningkatan harga barangan dan bahan api yang berterusan menyebabkan pengguna di Malaysia berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup, kualiti kehidupan kian berkurangan, hutang meningkat dan tekanan hidup bagi keluarga.

Menurutnya, dalam menghadapi cabaran ini, pengguna perlulah mengurangkan jangkaan bahawa kerajaan akan terus memberikan subsidi agar mereka dapat hidup selesa.

“Sebaliknya, pengguna perlu menilai semula semua gaya kehidupan mereka dan bersedia untuk membuat perubahan besar bagi membantu diri mereka sendiri.

“Bagi membantu pengguna, Kempen Konsumer Kebangsaan dilancarkan dengan tujuan utama untuk mengubah gelagat pengguna dalam tabiat perbelanjaan harian mereka,” katanya semasa memberikan taklimat sempena bengkel anjuran Fomca ini.

Beliau berkata, objektif utama kempen pengguna kebangsaan ini agar dapat menukar minda dan gelagat pengguna melalui peningkatan kesedaran dengan mengubah tanggapan pada masa ini melalui tema kempen Perubahan Bermula Dengan Saya.

“Menukar minda dan tabiat seseorang merupakan satu cabaran besar dan perlu mengambil masa.

“Justeru itu, kempen kesedaran ini akan diadakan bagi satu tempoh yang panjang iaitu selama empat tahun bermula 2008 sehingga 2012,” katanya.

Siti Rahayu berkata, bagi menerajui kempen ini, pihak Fomca mewujudkan kerjasama dengan tiga institusi utama iaitu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan juga Kongres Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Selain golongan wanita, belia dan pekerja, kempen ini turut mensasarkan golongan pelajar sekolah melalui persatuan pengguna, golongan mahasiswa, rukun tetangga dan juga persatuan penduduk serta masyarakat kampung.

“Kempen ini meliputi tiga strategi utama iaitu penggunaan media cetak, elektronik dan Internet, kempen peringkat kebangsaan dan juga program kesedaran dan pendidikan di seluruh Negara,” katanya.

Seramai 60 peserta yang juga ahli persatuan pengguna UPSI menghadiri bengkel terbabit yang dirasmikan oleh Presiden Fomca, datuk Marimuthu Nadason.

Bengkel yang dianjurkan selama sehari ini menyediakan tiga sesi taklimat yang disampaikan oleh pengurusan Fomca sendiri.

No comments: